IPK Sarawak dinaiktaraf dengan peruntukan RM1. 8 juta – Fadillah

Fadillah ketika ditemui di IPK Sarawak di Kuching.

KUCHING, 28 Jan: Bangunan dan kemudahan lain di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak akan dinaiktaraf dengan peruntukan RM1.8 juta, kata Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof.

Selain itu katanya, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching turut diperuntukan RM499,000 bagi tujuan yang sama.

“Kita memberi jaminan bahawa kemudahan infrastruktur bagi anggota polis di Sarawak dan Sabah dinaiktaraf melalui Peruntukan Kerajaan Perpaduan.


“Perbincangan akan dilakukan dengan Kementerian Kewangan dan Kementerian Dalam Negeri berhubung perancangan bagi tujuan tersebut.

“Kerja-kerja menaiktaraf melibatkan balai dan kuarters di kedua-dua negeri,” kata Fadillah.

Beliau berkata ketika ditemui semasa lawatan rasmi ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di sini, hari ini.

Tambah Fadillah, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan menyediakan kemudahan dengan standard asas.

“Anggota-anggota polis menyediakan perkhidmatan terbaik dan kita harus berlaku adil kepada mereka,” katanya.

Selain itu ujar beliau, Balai Polis Song, Julau dan Daro dalam keadaan tidak sesuai dan perlu ditambah baik.

“Dan terdapat sembilan balai-balai di kawasan Kuching akan dinaiktaraf dengan peruntukan RM500,000,” ujar Fadillah.

Hadir sama Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri. ā€” DayakDaily