Peniaga rugi RM15,000 terpedaya sindiket ‘Macau Scam’

PDRM logo.

Oleh Dean Adam

BINTULU, 27 Okt: Seorang peniaga yang terpedaya dengan sindiket penipuan ‘Macau Scam’ kerugian sebanyak RM15,000 semalam.

Berdasarkan laporan diterima, lelaki berusia 36 tahun itu dikatakan telah menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki kononnya anggota polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak, Supt Mustafa Kamal Ghani Abdullah, berkata lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Koperal Sarul dan mendakwa mangsa telah terlibat dengan kes langgar lari di Pasir Gudang Highway, Johor, pada 22 Okt lepas.

Jelas beliau, mangsa kemudian didakwa menyewa kereta milik Zulkifli Abdul Razak dan membawa dadah serta melanggar seorang kanak-kanak yang kononnya kini terlantar di hospital dalam keadaan koma.

“Mangsa kemudian menafikan terlibat dengan dakwaan terbabit, namun suspek menyatakan terdapat tiga orang saksi menuduh mangsa terlibat dalam kes itu.

“Mangsa yang mula merasa takut dan panik kemudian didakwa lagi memiliki akaun bank OCBC sebanyak RM2.28 juta, namun dibekukan kerana mangsa terlibat dalam penggubahan wang haram,” katanya di sini hari ini.

Mustafa menambah, mangsa juga dituduh terlibat dengan dadah dan perlu membayar ikat jamin sebanyak RM50,000.

Katanya, disebabkan panik dengan dakwaan berkenaan, mangsa kemudian memindahkan wang sebanyak RM13,900, RM1,000 dan RM100 ke akaun RHB atas nama Lian Tuck Sia.

“Jumlah semua wang yang dipindahkan adalah sebanyak RM15,000 dan baki yang belum dibayar lagi iaitu berjumlah RM35,000.

“Tetapi, apabila mangsa bercakap dengan isterinya barulah dia sedar bahawa telah ditipu dan menanggung kerugian sebanyak RM15,000,” katanya. — DayakDaily