Penguang: Ordinan Ketua Kaum dan Ketua Masyarakat 2004 boleh halang MPKK

Penguang ketika ditemui di Kuching hari ini.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 22 Oktober: Menteri Muda Kerajaan Tempatan, Datuk Dr Penguang Manggil, yakin Ordinan Ketua Kaum dan Ketua Masyarakat 2004 boleh menghalang penubuhan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di Sarawak.

Katanya, kerajaan negeri akan menguatkuasakan undang-undang tersebut pada waktu yang sesuai dan ia adalah salah satu kaedah yang boleh digunapakai.

“Saya tidak menyatakan ia adalah satu-satunya cara untuk kita menghalang penubuhan MPKK.

“Jika perlu, kita juga boleh mengunakan perundangan,” katanya ketika ditemui pemberita selesai Program Kesedaran Alam Sekitar Bahagian Kuching di sini hari ini.

Penguang, yang juga ADUN Marudi, berpendapat usaha Pakatan Harapan (PH) untuk menubuhkan MPKK sebenarnya akan memecah-belahkan rakyat terutamanya rakyat di kawasan pendalaman.

Beliau mengambil contoh di kawasan Marudi, di mana mereka yang mendaftar bersama MPKK adalah golongan yang tersisih dari masyarakat umum.

“Kedua, golongan ini tiada status sosial atau dengan kata lain seperti orang buangan iaitu tidak diperlukan, maka MPKK menjadi tumpuan mereka,” dakwa Penguang.

Mengulas alasan PH yang penubuhan MPKK adalah untuk menjadi jambatan penghubung rakyat kepada kerajaan pusat, Penguang dengan tegas berkata ia adalah tidak perlu.

Ujar beliau, kerajaan pusat sudah memiliki banyak agensi di Sarawak dan mekanisma sedia ada boleh digunapakai untuk tujuan yang sama.

Justeru beliau yakin penubuhan MPKK adalah untuk tujuan politik semata-mata dan merulakan langkah pertama PH menjadikan Sarawak koloni politik.

“MPKK lebih ke arah politik kerana ahli-ahlinya harus menjadi ahli PH dan ia mesti dilaksanakan melalui pusat khidmat mereka,” ujar Penguang. — DayakDaily