Pengisytiharan Sarawak sebagai ‘Wilayah’ hanya retorik, kata PKR Sarawak

Abun Sui Anyit

KUCHING, 12 April: PKR Sarawak menolak pengisytiharan Sarawak dan Sabah sebagai Wilayah oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini.

Menurut ketua penerangannya Abun Sui Anyit, terma “Wilayah” yang diisytiharkan tersebut tidak membawa apa-apa keistimewaan kepada kedua-dua negeri.

“PKR (Parti Keadilan Rakyat) Sarawak mendukung kenyataan awal Presiden Dato’ Seri Anwar Ibrahim iaitu menyokong bahawa status Sarawak tidak sama taraf dengan negeri-negeri di Semenanjung Malaysia.


“Justeru, PKR Sarawak mengajak agar warga Sabah dan Sarawak untuk mengimbau kembali bahawa Sabah dan Sarawak adalah berstatus “Negara” sebelum dan semasa menandatangani Perjanjian Malaysia 1963 pada 9 Julai 1963,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Abun, PKR juga menggesa ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan kerajaan persekutuan untuk membuka Parlimen dan membincangkan usul-usul berkaitan terma Wilayah sebelum ia diterima.

PKR Sarawak juga, katanya, menggesa agar pengisytiharan ini dibahas di Dewan Undangan Negeri Sarawak, sama ada boleh diterima atau tidak.

“Kalau perbahasan belum dilakukan di Parlimen dan DUN Sarawak, maka perisytiharan ini hanyalah umpama khabar angin yang tidak membawa apa-apa faedah kepada Sarawak dan Sabah dan rakyatnya,”ujar Abun. — DayakDaily