Penggunaan bahan pemusnah lapisan ozon terkawal, dipatuhi industri – JAS

Amirul (duduk tiga dari kiri) bersama pelajar dan guru SMK Kota Samarahan yang menghadiri majlis penutupan Kem Kesedaran Perlindungan Lapisan Ozon.

SERIAN, Sept 22: Industri di Sarawak, secara keseluruhannya, mematuhi peraturan pengunaan bahan pemusnah lapisan ozon dan membolehkan pengunaan bahan terbabit terkawal di negeri ini, kata Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Ketua Penolong Pengarah JAS Sarawak, Amirul Aripin berkata hasil pemeriksaan rutin jabatan terbabit ke semua premis industri mendedahkan bahawa bahan terbabit masih diperlukan di seluruh negeri ini.

“Setakat ini premis terbabit yang berdaftar dengan jabatan ini adalah memahami dan kebanyakkannya akur segala peraturan berkaitan pengunaan bahan pemusnah ozon itu disamping berusaha mengunakan peralatan baru (yang tiada bahan terbabit) supaya berhenti mengunakan bahan itu secara berfasa,” katanya selepas merasmikan penutupan Kem Kesedaran Perlindungan Lapisan Ozon di Taman Rekreasi Ranchan, di sini, hari ini.


Keseluruhannya seramai 36 pelajar dan empat guru dari SMK Kota Samarahan menyertai kem dua hari terbabit, yang dianjurkan JAS Sarawak sempena Hari Ozon Antarabangsa 2018.

Amirul Aripin (tengah) menyampaikan hadiah kepada pelajar SMK Kota Samarahan yang menyertai acara pertandingan yang diadakan sempena Kem Kesedaran Perlindungan Lapisan Ozon.

Amirul berkata industri di Sarawak masih perlu mengunakan bahan itu, terutama  berkaitan kesihatan dan perubatan, malahan bahan terbabit juga penting dalam pembedahan pesakit yang menyebabkannya tidak boleh dihentikan serta-merta.

“Bahan pemusnah lapisan ozon itu adalah seperti kluorofluorokarbon (CFC), halon, karbontetraklorida (CTC), Metil Bromida (MBr) dan hidrokluorofluorokarbon (HCFC),” katanya.

Menurutnya bahan terbabit lazimnya digunakan untuk alat penghawa dingin dalam rumah, bangunan dan kenderaan dan juga peti sejuk serta terdapat dalam botol semburan racun serangga.

Amirul berkata negara ini telah menamatkan pengunaan dan mengantikan bahan terbabit secara berfasa sejak 2010 dan pada 1 Jan, 2015, negara ini juga telah melarang pengunaan MBr sebagai racun perosak  dan pengasapan selepas penuaian dalam sektor pertanian.

Lapisan ozon kira-kira 16 kilometer dari permukaan bumi memainkan peranan penting menyerap sinaran ultra violet (UV) yang merbahaya dari matahari supaya manusia tidak terdedah kepada sinaran UV yang boleh menyebabkan penyakit barah, kulit, mata, melemahkan sistem pertahanan badan dan membawa kesan negetif keatas rantaian makanan. — DayakDaily