Wan Junaidi: Belanjawan 2020 tidak menepati sasaran untuk Sarawak

Dato Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar

KUCHING, 11 Oktober: Ahli Parlimen Santubong Datuk Seri Dr Wan Juniaidi Tuanku Jaafar menyifatkan Belanjawan 2020 sebagai tidak menepati sasaran khasnya untuk Sarawak.

“Janji-janji yang kita tahu bahawa 50 peratus dari cukai dipungut di Sarawak dan 30 peratus dari jumlah belanja pembangunan tidak ditunaikan,” katanya.

Dalam Belanjawan 2020 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng di Parliemen petang tadi, Sarawak hanya mendapat jumlah RM4.4 biliun, iaitu RM700 juta kurang dari Sabah yang mendapat RM5.1 biliun.


“Jumlah peruntukan untuk Sarawak dan Sabab hanya berjumlah RM9.5 biliun, iaitu 16.3 perauts dari jumlah bajet pembangunan yang berjumlah RM58 biliun. Nampaknya jauh sangat dari sasaran yang di gempar-gempurkan sebelum ini,” kata beliau.

Beliau juga mendakwa pembangunan luar bandar untuk bekalan elektrik, air bersih dan jalanraya yang diumumkan sebenarnya untuk mengisi apa yang telah dilulus pada tahun 2016 dan 2017 oleh pentadbiran Barisan Nasional dahulu, yang dibatal oleh Pakatan Harapan selepas Pilihan Raya Ke-14 (PRU14).

“Butiran keseluruhannnya kita akan semak selepas ini nanti sama ada semua projek-projek yang dibatal dahulu dihidupkan semula,” kata beliau.

Wan Junaidi juga hairan kenapa skim untuk usahawan tidak seimbang kerana kaum Bumiputera cuma mendapat RM50 juta, manakala kaum India mendapat RM20 juta dan perniaga Cina mendapat RM100 juta.

“Keseluruhannya masih lebih rendah dari yang di peruntukan oleh kerajaan BN dahulu menerusi berberapa mekanisma untuk tiga kelompok ini,” katanya.

Tambah beliau, BRIM untuk orang-orang bujang dinaikkan dari RM100 ke RM300 pun jauh rendah dari peruntukan yang diberi oleh BN dahulu, iaitu sebanyak RM500.

“Saya tak dengar peruntukan untuk rumah nelayan dan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

“Gaji minimum dinaik dari RM1,050 kepada RM1,200, ini pun hanya untuk bandar-bandar utama sahaja. Jadi kita belum dapat butiran terperinci mana satu bandar-bandar utama. Ini bermakna pekerja di sektor pertanian, peladangan dan perikanan di luar bandar tidak termasuk dalam gaji minimum ini,” jelas beliau.

Bagi pemegang Pingat Jasa Malaysia (PJM) yang diberi ‘one-off’ RM500 untuk tentera yang berkhidmat semasa darurat pertama 1948 hingga 1960, dan darurat kedua dari 1969 hingga 1989, harus diberi juga kepada bekas polis, kata beliau.

“Tetapi, nampaknya tidak ada pemberian kepada penyandang Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) yang diberi kepada bekas polis yang turut berkhidamat semasa darurat yang sama dan juga mereka yang berkhidmat pada darurat 1962 hingga 1990 di Sarawak.

“Ini adalah satu diskriminasi yang sangat ketara sebab tidak mengiktiraf perjuangan polis semasa darurat di Sarawak. Ini tidak patut berlaku dan tidak boleh diterima,” kata beliau.

Sementara itu, Wan Junaidi yang juga bekas Menteri Alam Sekitar dan Sumber Asli berkata peruntukan untuk menangani pencemaran alam sekitar amat rendah dan tidak mencukupi.

“Baru-baru ini negara telah dikejutkan dengan insiden pencemaran sisa kimia di Sungai Kim Kim dan Pasir Gudang serta masalah jerebu rentas sempadan.

“Sebanyak RM30 juta akan diperuntukkan untuk meningkatkan keupayaan dan kapasiti Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Kimia bagi menangani masalah ini. Melihat apa yang berlaku di Pasir Gudang dua kali, saya jangka jumlah ini memang tidak mencukupi.

“Begitu juga belanjawan tujuan mengurangkan kejadian banjir kilat, juga dikurangkan.

“Kerajaan akan memperuntukkan RM443.9 juta untuk Rancangan Tebatan Banjir dan RM150 juta untuk menyelenggara pengurusan kolam takungan banjir sedia ada. Ini tidak akan mencukupi kerana peruntukan pada tahun 2017 lebih dari RM450 juta di Sarawak sahaja,” katanya.

Tambah beliau: “Ini belum mengambil kira negeri-negeri lain. Memandangkan kesan dari ‘climate change’ ini, malapetaka alam lebih kerap berlaku, nampak tidak diambil kira.” — DayakDaily