Penganggur disyaki terlibat edar dadah dicekup polis

Kelihatan dadah serta peralatan yang dirampas polis.

Oleh Dean Adam

KUCHING, Jan 4: Seorang penganggur lelaki diberkas selepas disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah menerusi satu serbuan di sebuah rumah di Taman Sin Hai Min, Jalan Stutong di sini petang semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Supt Sahar Abdul Latif berkata suspek berusia 22 tahun itu dicekup oleh sepasukan anggota polis dari JSJN Sarawak pada pukul 4.30 petang.


Menurutnya, hasil serbuan itu polis berjaya satu paket plastik berisi (6) biji pil ekstasi seberat 2.84gram, (1) paket hablur kristal disyaki dadah jenis ketamine (2.25gram) dan (1) paket campuran serbuk jus buah-buahan dan serbuk ekstasi (18.80gram).

“Siasatan lanjut kemudian membawa kepada serbuan di sebuah apartment di Jalan Tawi Sli, sebelum menemui 10 paket campuran jus buah-buahan dan serbuk ekstasi (202.70 gram), sebotol kaca bertutup bertulis ‘Living Container’ berisi dan 32 paket plastik yang setiap satu berisi hablur kristal disyaki dadah jenis ketamine (6.47gram).

“Turut ditemui termasuk sepaket plastik lutsinar berisi 15 biji pil ekstasi (6.47gram) serta pelbagai peralatan yang digunakan untuk membungkus dadah,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, Sahar memberitahu nilai keseluruhan rampasan dadah tersebut adalah sebanyak RM 9,310.

Katanya, siasatan seterusnya mendapati suspek mula melakukan kegiatan pengedaran dadah sejak Mac 2017 di pusat-pusat hiburan sekitar bandar raya ini.

“Ujian air kencing yang dijalankan juga mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.

“Suspek kini ditahan reman bagi membantu kes di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 39A(1) ADB 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952,” ujarnya lagi. — DayakDaily