Asteroid bakal hentam bumi tidak benar – Angkasa

Gambar premis Agensi Angkasa Negara di Banting, Selangor, yang diperolehi dari laman Facebook Angkasa.

KUCHING, 4 Jan: Agensi Angkasa Negara (Angkasa) menafikan yang asteroid akan menghentam bumi bulan depan seperti yang ditular di media sosial.

Menurut kenyataan media, Angkasa menjelaskan bahawa asteroid yang dimaksudkan – yang diberi gelaran 2002NT7 – telah dijumpai NASA (National Aeronautics and Space Administration) pada tahun 2002.

Berdasarkan pengiraan teori astronomi oleh NASA, asteroid terbabit akan menghentam bumi pada tarikh 1 Feb, 2019, dengan kebarangkalian kurang dari satu peratus.

Bagaimanapun dengan pemantauan dan pengiraan semula, kebarangkalian asteroid terbabit menghentam bumi adalah amat kecil dan hampir mustahil, katanya.

“Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) melalui Angkasa telah menerima pertanyaan dan reaksi orang ramai terhadap laporan asteroid bakal menghentam bumi pada 1 Feb, 2019.

“Angkasa ingin menegaskan bahawa berita tersebut adalah tidak benar,” agensi tersebut berkata.

Disamping itu, hasil semakan dan penelitian Angkasa juga mengesahkan bahawa asteroid terbabit tidak akan menghentam bumi pada tarikh yang dilaporkan.

Sehubungan itu, Angkasa meminta orang ramai untuk tidak perlu bimbang berkaitan perkara itu dan meningatkan mereka supaya tidak terpengaruh dengan berita yang tular dan lebih berhati-hati dalam berkongsi maklumat di media sosial. — DayakDaily