Kanak-kanak tahan sakit, jari tersepit dalam lubang kerusi plastik

Kelihatan anggota bomba sedang berusaha mengeluarkan jari mangsa.

Oleh Dean Adam

SERIAN, Jan 4: Seorang kanak-kanak berdepan detik mencemaskan apabila ibu jarinya tersepit di dalam lubang kerusi plastik di Tabika Kemas Kampung Taee, di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu, kanak-kanak lelaki berusia enam tahun tersebut terpaksa menahan kesakitan sebelum ketibaan pasukan bomba.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak Tiong Ling Hii berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 9.14 pagi.

Jelasnya, sejurus itu, sepasukan tiga anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serian bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi susulan.


“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati ibu jari tangan kanan kanak-kanak itu masih tersepit di dalam lubang kerusi plastik.

“Anggota bomba kemudian bertindak mengeluarkan jari mangsa dengan menggunakan peralatan khas,” katanya di sini hari ini.

Tiong menambah, anggota bomba mengambil masa kira-kira 10 minit untuk mengeluarkan jari mangsa.

Pemeriksaan lanjut mendapati ibu jari kanak-kanak berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Operasi khas itu tamat sepenuhnya pada pukul 9.58 pagi,” ujarnya. — DayakDaily