Penganggur diberkas kerana memeras ugut pekerja inap desa di Batu Niah

Suspek (tengah) dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk siasatan lanjut.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 22 Jun: Seorang penganggur ditahan polis selepas dipercayai terlibat dalam jenayah pemerasan wang berjumlah RM100 terhadap seorang pekerja wanita di sebuah inap desa (‘homestay’) di pekan Batu Niah semalam.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari berkata, suspek berusia 29 tahun itu ditahan di kawasan berhampiran bangunan inap desa tersebut beberapa jam selepas kejadian.


“Dalam kejadian sekitar jam 3.30 pagi (21 Jun), suspek lelaki itu telah dilihat masuk ke dalam bangunan tersebut dan meminta wang RM100 daripada juruwang yang bertugas,” ujar Hakemal.

Kejadian berjaya dirakam CCTV bangunan tersebut.

Semasa kejadian, mangsa sedang bekerja sendirian di kaunter pembayaran bangunan inap desa tersebut.

“Suspek telah mendesak mangsa supaya menyerahkan wang tersebut kepadanya atau dicederakan sekiranya enggan patuh kepada permintaanya,” jelas Hakemal.

Siasatan awal mendapati, suspek mempunyai sebanyak tiga rekod jenayah lampau, termasuk kesalahan berkaitan penyalahgunaan dadah dan menceroboh.

Kes disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan dan jika disabit kesalahan, suspek boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana daripada hukuman itu. — DayakDaily