Penerbitan buku sejarah mampu tarik pelancong datang melawat Bau

Harry (kanan) bersama Wong pada satu sesi bicara di Kuching baru-baru ini

KUCHING, 24 Julai: Penerbitan buku yang mengisahkan sejarah awal Bau khususnya kedatangan pedagang dan pelombong emas mampu menarik pelancong datang melawat daerah tersebut.

Menurut Timbalan Menteri Pengangkutan yang juga Adun Tasik Biru Dato Henry Harry Jinep, Bau adalah di antara daerah tertua di negeri ini yang terkenal dengan aktiviti perlombongan emas pada pertengahan abad ke-19 dan awal abad ke-20.

Sejak 1850-an, Bau terkenal dengan emas dan pencari emas pada ketika itu yang terdiri daripada orang Cina dari Sambas di Kalimantan, Indonesia.

Manakala pedagang dari tanah besar China pula telah datang untuk berdagang di Kepulauan Borneo termasuk Bau seawal era kerajaan Rajah Brooke.

“Jika buku sejarah ini dikeluarkan kelak, saya yakin ia mampu untuk menarik pelancong dari tanah besar China datang melawat Bau.

“Maka ramai pelancong luar akan datang dan ini selaras dengan usaha kita menjadi Bau sebagai daerah terbaik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan di sesi bicara “The Chinese of Sarawak And Their Experience In A Multicultural State” oleh Profesor Datuk Dr Danny Wong Tze Ken baru-baru ini.

Wong yang merupakan seorang pensyarah sejarah di Universiti Malaya telah menulis beberapa buah buku.

Beliau kini menulis buku tentang sejarah Bau termasuk aktiviti pelombongan emas, kemasukan orang Cina dari tanah besar dan Kalimantan (Sambas, Singkawang dan Pontianak).

Dalam pada itu, Henry berkata pengetahuan tentang sejarah adalah penting dalam usaha untuk membangunkan Bau

Katanya, segala perancangan haruslah mengambil kira sejarah ini dan bersesuaian dengan polisi kerajaan.

“Segala perancangan mengambil kira kepentingan masyarakat Bau, kita ingin meningkatkan tahap ekonomi dan sosial penduduk baik di sektor pertanian, pelancongan, kesihatan, pendidikan dan sebagainya,” kata Harry. — DayakDaily