Pemilik dan pekerja bistro ditangkap kerana disyaki beroperasi tanpa lesen

Pemeriksaan dijalankan di dalam premis.

KOTA SAMARAHAN, 24 Julai: Padah beroperasi tanpa lesen, menyebabkan empat ditangkap dan semua peralatan muzik serta sistem audio sebuah bistro, di sini dirampas.

Ketua Polis Daerah Kota Samarahan DSP Sudirman Kram berkata anggota dan pegawainya dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kota Samarahan telah melakukan serbuan ke atas premis tersebut di Jalan Kuching-Samarahan Expressway sekitar jam 2 pagi.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati premis tersebut beroperasi tanpa lesen yang sah daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).


“Pihak polis kemudian menahan pemilik dan tiga pekerja di premis tersebut untuk membantu siasatan.

“Pihak polis turut merampas peralatan muzik dan sistem audio yang terdapat di dalam premis tersebut yang digunakan untuk beroperasi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tangkapan dan rampasan kemudian di bawa ke Balai Polis Kota Samarahan untuk tindakan selanjutnya.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 5(1) Ordinan Hiburan 2000.

“Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara sehingga lima tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya. — DayakDaily