Penemuan Somanella Enteritidis, KPDNHEP pantau bekalan telur di pasaran tempatan

Pegawai penguatkuasa KPDNHEP Sarawak melakukan pemeriksaan. (gambar fail)

PUTRAJAYA, 14 Mac: Pengguna dinasihatkan untuk tidak panik dengan situasi kerajaan Singapura mengarahkan empat pengimport telur untuk menarik balik dari pasaran telur yang dihasilkan oleh sebuah syarikat dari Malaysia berikutan dakwaan penemuan Somanella Enteritidis (SE).

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berkata, arahan penarikan semula bekalan telur tersebut adalah bertujuan berjaga-jaga atas kepentingan kawalan keselamatan dan kualiti makanan yang berada dipasaran negara terbabit.

Katanya, ketika ini, penilaian kesan ke atas bekalan telur di pasaran domestik sedang dilakukan oleh kementerian itu dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).


“Fokus tindakan KPDNHEP adalah dengan melakukan pemantauan rapi terhadap kedudukan bekalan telur di pasaran domestik susulan daripada isu penemuan tersebut.

“Pemantauan bekalan dipertingkatkan di setiap rantaian pengedaran dan pembekalan telur untuk mengesan kawasan-kawasan yang dijangka terjejas keberadaan bekalan telur,” menurut KPDNHEP dalam satu kenyataan.

Kata kenyataan itu, KPDNHEP turut mengadakan sesi libat urus bersama pemain industri dalam kalangan penelur dan pengeluar ayam dalam negara untuk siap siaga menjalankan proses pengeluaran bekalan telur .

Ia bagi  menampung sebarang risiko gangguan bekalan telur di pasaran dalanm negara sekiranya ianya berlaku.

Peniaga dalam pada itu turut diingatkan untuk tidak mengambil kesempatan dengan menjadikan situasi tersebut sebagai alasan untuk menaikkan harga secara tidak berpatutan.

Katanya, peniaga terlibat boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 14(1), Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 dan sekiranya sabit kesalahan, mereka (peniaga) boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 bagi suatu perbadanan atau syarikat manakala denda sehingga RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya sekali bagi  bukan perbadanan atau individu perseorangan.

“Pengguna boleh menyalurkan maklumat aduan berkaitan salahlaku peniaga yang melanggar undang-undang di bawah bidang kuasa KPDNHEP secara rasmi melalui saluran aduan yang disediakan oleh pihak Kementerian,” katanya. — DayakDaily