Pemuliharaan hutan paya bakau, Premier cadang kolaborasi Sarawak – Indonesia

Abang Johari (dua dari kanan) pada sidang media di Lundu hari ini (Jun 11, 2022).

Oleh Chris Bishop

LUNDU, 11 JUN: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mahukan kolaborasi bersama Indonesia bagi memulihara kawasan paya bakau di Kepulauan Borneo.

Menurut beliau, perbincangan telah diadakan bersama Konsul General Indonesia yang antara lain melibatkan isu berhubung penyimpanan karbon.


Katanya, Sarawak memiliki kawasan Ramsar yang luas bermula dari Kuching hingga Ke Lawas dimana kajian terhadap kepentingan harus dilakukan.

“Ini adalah satu kawasan ekosistem hutan paya bakau yang harus kita pertahankan di bawah Ramsar.

“Ia juga akan membawa mesej jelas kepada dunia bahawa kita memulihara alam sekitar.

“Dan pada masa yang sama, kita ada usaha melakukan kajian terhadap hutan paya bakau, bukan sahaja dari sudut penyimpanan karbon, tetapi kegunaan produk termasuk apong,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media setelah merasmikan Majlis Pecah Tanah Pusat Pentadbiran Daerah Lundu hari ini.

Menurut Abang Johari, di Lundu, kawasan paya bakau adalah di Sempadi yang disambungkan dari Pantai Damai iaitu dari Telaga Ai dan Sungai Salak.

Bagi mengurus dan mengawal selia hutan paya bakau ujar beliau, Sarawak telah menubuhkan Lembaga Pembangunan Sagu Dan Nipah.

“Kawasan pesisir Sarawak banyak paya bakau dan berpotensi menjana pendapatan baik dari segi produk dan simpanan karbon,” kata Abang Johari.

Berhubung pembinaan bangunan pentadbiran baharu Lundu, beliau berkata ia penting agar daerah tersebut terus berkembang selaras dengan pelan pembangunan negeri. — DayakDaily