Pemuda PBB menyokong penuh keputusan parti untuk keluar BN

Fazzrudin (duduk tiga dari kanan) bersama ahli Pergerakkan Pemuda PBB mengadakan sidang media di Ibupejabat PBB, Jalan Bako, di Kuching.

KUCHING, Jun 12: Pergerakkan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) mengumumkan mereka menyokong penuh keputusan parti terbabit bersama parti komponen Barisan Nasional (BN) Sarawak yang lain untuk bertindak keluar dari BN dan menubuhkan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Timbalan Ketua Pemuda PBB dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong, Fazzrudin Abdul Rahman berkata demikian kerana langkah berkenaan adalah selari dengan perjuangan untuk memastikan hak Sarawak dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) terpelihara demi pembangunan dan kepentingan rakyat negeri ini.

“Pergerakkan Pemuda PBB menyokong sepenuhnya keputusan empat parti komponen BN di Sarawak iaitu PBB, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) untuk keluar BN dan menubuhkan GPS yang akan memberi fokus kepada MA63 dan dapat bekerjasama dengan kerajaan pusat dalam menjaga kepentingan Sarawak,” katanya dalam sidang media Pergerakkan Pemuda PBB di Ibupejabat PBB, Jalan Bako, di sini, hari ini.


Fazzrudin berkata pihaknya dengan itu mengajak seluruh rakyat Sarawak tanpa mengira ideologi politik, kaum dan agama untuk berdiri teguh bersama pucuk kepimpinan negeri ini dalam mempertahankan hak Sarawak.

“Kami Pemuda PBB akan memainkan peranan aktif serta melafaz taat setia kepada kepimpinan Presiden PBB (Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg) serta akan terus menyokong dasar beliau yang mengutamakan dan menguntungkan rakyat,” katanya.

Disamping itu, mereka juga akan terus menyokong penuh segala usaha Ketua Menteri dalam melaksanakan dasar untuk
menaiktaraf serta meningkatkan kemudahan luar bandar dan mempertahankan hak Sarawak berhubung isu penerokaan minyak di negeri ini oleh Petronas.

“Mengenai isu Petronas, Pergerakkan Pemuda PBB mengecam sekeras-kerasnya tindakan Petronas yang cuba merampas hakmilik petroleum negeri ini dan kita mencabar Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak, Chong Chieng Jen untuk menyatakan pendirian mereka berhubung isu Petronas,” katanya.

Ini kerana sehingga kini wakil rakyat DAP terbabit masih menikus dan berdiam diri dalam isu berkenaan dan beliau menjelaskan setakat ini Pemuda PBB belum bercadang membuat petisyen bagi menghalang Petronas.

Fazzrudin berkata pihaknya mengesyorkan kepada kerajaan negeri supaya menuntut segera semua hak Sarawak yang lain berdasarkan MA63 dan memastikan ianya dikembalikan dengan segera tanpa sebarang syarat seperti mana ianya dirampas dahulu.

Disamping itu, mereka mengucapkan terima kasih kepada kesunguhan Ketua Menteri dalam menyelesaikan sendiri masalah isu air yang dihadapi rakyat di kawasan luar bandar termasuk Saratok, Kabong, Dalat, Asajaya, Sadong Jaya dan Simunjan dan memuji tindakan mengunakan peruntukan negeri bagi menyelesaikan segera itu itu.

“Pemuda PBB akan menjadi mata dan telinga kepada kerajaan, kita akan memantau pelaksanaan projek ini. Jika kita melihat pelaksanaanya tidak mengikuti kehendak yang kita tetapkan,kita akan menyuarakan kepada kerajaan,” katanya.

Ini berikutan Ketua Menteri sebelum ini mengumumkan peruntukan segera kerajaan negri sebanyak RM150 juta bagi menjalankan projek mengatasi masalah air di Asajaya, Sadong Jaya, Simunjan, Sebuyau dan Sebangan; manakala Dalat (RM34 juta), Kabong (RM60 juta) dan Saratok (RM87 Juta) juga menerima peruntukan. — DayakDaily