38 kumpulan muzik antarabangsa akan membuat persembahan RWMF edisi ke-21

Abdul Karim (tengah) pada sidang media mengenai RWMF.

KUCHING, Jun 12: Sebanyak 38 kumpulan muzik antabangsa akan membuat persembahan dalam Festival Hutan Muzik Sedunia (RWMF) edisi ke-21 yang akan berlangsung pada Julai 13 hingga 15 ini, di Kampung Budaya Sarawak.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata kumpulan tersebut adalah dari India, Sepanyol, USA, Serbia, Brazil, Indonesia, Filipina, China, Korea, Jepun, Mexico, dan Tunisia termasuk kumpulan muzik tempatan dari Sarawak dan Semenanjung Malaysia.

“Kita menjangkakan festival tahun ini akan lebih meriah dengan keunikan serta kepelbagai rentak muzik yang akan dipersembahkan,” katanya pada sidang media di sini, semalam.


Dalam pada itu, Abdul Karim berkata lokasi festival tahun ini akan turut diperluaskan ke Damai Central, di mana akan dibuka kepada umum secara percuma.

“Pentas besar akan diletakkan di sana sebagai platform untuk kumpulan kugiran tempatan membuat persembahan mereka,” tambah beliau.

Selain itu, katanya DJ Club Set di Escobar turut dibuka untuk yang berusia 21 tahun ke atas, dengan kemasukan percuma bagi yang memakai gelang tangan festival manakala yang tidak mempunyai gelang tangan festival perlu membayar untuk masuk.

Manakala di Kampung Budaya Sarawak, Abdul Karim berkata ‘pentas hutan dan pokok’ dibina untuk konsert pada waktu petang.

Pada masa sama, katanya pentas teater untuk sesi mini dan persembahan akustik turut akan diadakan.

Harga tiket yang ditawarkan bagi pra jualan dari Mei 1 hingga Julai 12 adalah RM123.80 (pas satu hari), RM323.80 (pas 3 hari) bagi dewasa; RM63.80 (pas satu hari) dan RM144 (pas tiga hari) bagi kanak-kanak berusia 7 hingga 12 tahun; serta RM255.10 bagi pakej satu hari untuk keluarga (dua dewasa dan dua kanak-kanak).

Bagi jualan pintu dari Julai 13 hingga 15, harga tiket adalah RM146.20 (pas satu hari) dan RM386.80 (pas tiga hari) bagi dewasa, RM75.50 (pas satu hari) dan RM188.70 (pas tiga hari) bagi kanak-kanak serta RM301.90 bagi pakej satu hari untuk keluarga (dua dewasa dan dua kanak-kanak).

Tiket boleh didapati melalui www.rwmf.net/tickets/. — DayakDaily