Oleh Brad Rantayy
MIRI, 17 April: Seorang lelaki ditahan polis selepas cuba melibas pedang samurai ke arah bapa saudaranya di sebuah rumah di Kampung Subak ,Bekenu pagi Sabtu (16 April).
Suspek berusia 27 tahun itu ditahan kurang lapan jam selepas pihak polis dimaklumkan mengenai kejadian oleh pengadu.
Tangkapan dilakukan anggota unit Ronda dan Cegah Jenayah Balai Polis Bekenu sekitar jam 5.25 petang hari yang sama.
Difahamkan, sebelum kejadian, pengadu baru sahaja hendak turun kerja pada sekitar jam 9.47 pagi, apabila suspek tiba-tiba mengamuk lalu mengambil sebilah pedang samurai dan bertindak menyerangnya.
Mujur salah seorang penduduk kampung berkenaan yang kebetulan berada tidak jauh dari rumah pengadu sempat meleraikan kejadian.
Pengadu kemudian tampil ke Balai Polis Bekenu untuk membuat laporan polis.
Sementara itu, Ketua Polis Daeran Miri ACP Alexson Naga Chabu ketika dihubungi mengesahkan tangkapan.
Kertas siasatan dibuka dobawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah. — DayakDaily