Polis cekup lelaki disyaki meraba punggung surirumah di Permyjaya

Suspek (tengah) dicekup JSJ IPD Miri.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 17 April: Seorang lelaki berusia 25 tahun diberkas polis selepas disyaki meraba punggung seorang surirumah di sebuah unit kediaman Quadruplex Permyjaya.

Menurut Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu, tangkapan dilakukan sekitar jam 11.30 malam Sabtu (16 April) diketuai DSP Loh Wooi Kee bersama beberapa anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Miri.


Suspek ditahan di hadapan sebuah kediaman di Lorong Ketapang 7, Tudan Fasa 5.

Tangkapan dilakukan susulan menerima laporan daripada mangsa, 25 tahun, berhubung insiden.

Turut dirampas daripada suspek semasa tangkapan, pemotong dawai dan sebilah pisau.

Dalam kejadian pada awal pagi Jumaat itu (15 April), suspek telah datang ke rumah pengadu sekitar jam 12.30, dengan alasan hendak bertemu dengan suami wanita tersebut.

Difahamkan, suspek telah bertindak meraba punggung wanita tersebut apabila diberitahu suaminya tiada di rumah.

Terkejut dengan tindakan suspek itu, pengadu telah menjerit meminta tolong.

Suspek kemudian melarikan diri kerana ketakutan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan Seksyen 447 Kanun Keseksaan. — DayakDaily