Lelaki baling besi dan buah labu kuning ke arah rumah jiran diberkas

Polis menahan suspek (dua dari kiri) di sebuah rumah di Lorong Kiambang 3, Tidan fasa 3 tengahari semalam (10 Julai, 2021).

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 11 Julai: Polis menahan seorang lelaki di Tudan petang semalam selepas dia disyaki melakukan ugutan jenayah dan membaling batang besi ke arah rumah jirannya.

Punca kejadian masih dalam siasatan.


Difahamkan dalam kejadian awal pagi Sabtu itu, sekitar jam 7, suspek berusia 38 tahun itu dikatakan telah bertindak membaling batang besi dan buah labu kuning ke arah rumah jirannya sambil mengugut bunuhnya.

Bimbang keselamatan dirinya terancam, mangsa telah tampil membuat satu laporan polis.

Suspek telah ditahan di sebuah rumah di Lorong Kiambang 3, Tudan fasa 3 pada hari yang sama sekitar jam 1 petang oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Miri.

Menurut Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari, suspek kini sedang ditahan di lokap Balai Polis Pusat Miri untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan. — DayakDaily