Pemuda Amanah Sarawak mahu kerajaan negeri semak semula nama yang disenarai hitam

Mohamad Fadillah Sabali

KUCHING, Ogos 28: Parti Amanah Negara (Amanah) Sarawak mengiktiraf undang-undang kerajaan negeri ini untuk menentukan siapa yang dibenarkan masuk atau sebaliknya.

Ketua Pemuda Amanah Sarawak, Mohamad Fadillah Sabali berkata, kuasa yang diberikan itu adalah bertujuan untuk menghalang unsur subversif daripada masuk ke Sarawak atau demi menjaga kesejahteraan rakyat Sarawak.

Jelasnya, Naib Pemuda Amanah, Shazni Munir Ithnin yang ingin masuk ke Sarawak adalah seorang rakyat Malaysia, mewakili parti yang berdaftar di bawah undang-undang yang sah dan beliau tidak membawa sebarang unsur subversif.


“Tujuan beliau (Shazni) masuk ke Sarawak adalah untuk berjumpa ahli-ahli parti dan melibatkan diri dalam aktiviti parti yang merupakan salah satu daripada fungsi sistem demokrasi berparlimen.

“Pihak kerajaan negeri Sarawak menggunakan kuasa di bawah Akta Imigresen atau apa-apa undang-undang yang lain terhadap orang-orang yang bukan bersifat subversif dan tidak mengganggu kesejahteraan rakyat Sarawak ini adalah sesuatu yang tidak munasabah dan tidak membantu proses demokrasi berparlimen untuk berjalan dengan baik.

“Ini kerana, sebarang usaha untuk menghalang tanpa sebab yang kukuh mencerminkan ketidakyakinan kerajaan Sarawak terhadap sokongan rakyat kepada dirinya sendiri,” katanya di sini semalam.

Mohamad Fadillah menambah, tindakan seumpamanya adalah sesuatu yang tidak bersifat telus dan ini menunjukkan bahawa kerajaan negeri Sarawak tidak berjiwa besar.

Oleh yang demikian ujarnya, Pemuda Amanah Sarawak meminta kerajaan negeri Sarawak untuk menyemak semula penggunaan undang-undang tersebut.

“Kerajaan negeri juga perlu membersihkan senarai nama yang tidak berkenaan dengan tujuan undang-undang ini dikuatkuasakan agar menghormati sistem demokrasi berparlimen dan memberi jaminan yang ia tidak akan disalahgunakan pada masa hadapan,” ujarnya.

Pada Ogos 26 lepas, Shazni yang telah tiba di Sibu untuk menghadiri program rasmi parti Amanah telah dihantar pulang ke Kuala Lumpur selepas Imigresen mengesahkan larangan masuk beliau sejak Barisan Nasional (BN) memerintah masih belum dibatalkan. — DayakDaily