Pemuda Amanah selar tindakan Hishammuddin yang tidak beretika

Fais Fadzil

KUCHING, Ogos 28: Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) menyelar tindakan mantan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang mengambil dua orang anggota Pasukan Khas Laut (Paskal) dan seorang anggota Komando Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebagai pegawai pengiringnya.

Timbalan Ketua Pemuda Amanah, Fais Fadzil berkata, tindakan seumpamanya yang dilakukan oleh Hishamuddin seolah-olah beliau tidak menghormati keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.

Tegasnya, tindakan Hishammuddin ini sesuatu yang tidak beretika kerana beliau perlu sedar bahawa sejak Barisan Nasional (BN) tewas pada Mei 9 lalu di mana beliau tidak lagi menjadi Menteri Pertahanan.

“Beliau (Hishamuddin) seharusnya mengasingkan diri daripada pejabat Menteri Pertahanan dan memutuskan hubungan rasmi dengan mana-mana pegawai dan anggota kementerian termasuk ATM.

“Tindakan Hishammuddin yang meminta anggota di bawah kementerian termasuk ATM meneruskan kerja dengan beliau boleh dianggap salahguna kuasa kerana mereka masih berkhidmat dan dibayar gaji oleh ATM,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.


Faiz menambah, alasan Hishammuddin bahawa mereka telah diminta untuk meletak jawatan serta-merta adalah tidak berasas.

Katanya, beliau seharusnya memastikan mana-mana individu yang berkhidmat dengan beliau tiada apa-apa kaitan tugas dengan kerajaan dan ATM.

“Ironinya, tiada peruntukan bagi mana-mana anggota ATM dibenarkan meletakkan jawatan 24 jam kerana tempoh perkhidmatan mereka adalah untuk sesuatu tempoh tertentu.

“Peletakan jawatan mana-mana anggota ATM adalah tertakluk di bawah Akta Angkatan Tentera 1972 dan bukannya boleh dibuat sewenang-wenangnya.

“Jadi, sebagai bekas menteri, adalah tidak logik untuk Hishammuddin tidak arif berkenaan peraturan ini,” katanya.

Sebaliknya ujar Faiz, Hishammuddin pula memberikan alasan bercanggah dengan menyatakan bahawa perkhidmatan mereka dengan beliau hanya untuk sementara waktu sahaja sedangkan mereka masih berkhidmat dengan ATM.

Katanya, tindakan itu jelas bercanggah dengan peraturan-peraturan sedia ada termasuk Akta Angkatan Tentera 1972.

“Justeru, Pemuda Amanah menyokong penuh tindakan Menteri Pertahanan Mohamad Sabu supaya suatu siasatan dilakukan berhubung perkara ini termasuk menyiasat Hishammuddin.

“Siasatan ini penting untuk memastikan mana-mana bekas menteri kabinet BN menumpukan tugas mereka sebagai pembangkang serta memastikan semua anggota dan pegawai kerajaan memberikan khidmat penuh dan taat setia kepada kerajaan baharu yang telah dipilih rakyat secara sah dan demokratik,” katanya. — DayakDaily