Pemergian Tan Sri Ahmad Urai, Sarawak kehilangan pemimpin berpengalaman — Abang Johari

Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg (file pic)

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 12 Jun: Allahyarham Tan Sri Abang Ahmad Urai Abang Mohideen seorang anak Sarawak yang telah banyak berjasa, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Menurut Abang Johari, jasa Allahyarham bukan sahaja sebelum dan pasca merdeka tetapi juga di peringkat kepimpinan kerajaan.

Katanya, pemergian Allahyarham adalah satu kehilangan besar kepada negara dan Sarawak.

“Allahyarham telah banyak menyumbang kepada pembangunan negara dan Negeri sepanjang penglibatannya dalam arena politik dan pegawai tinggi kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa menziarah keluarga Allahyarham di Jalan Muda Hashim, Kuching hari ini.

Jelasnya lagi, Allahyarham merupakan salah seorang pemimpin veteran politik dalam Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Malah, beliau pernah menggalas jawatan penting bukan sahaja di peringkat Negeri tetapi di Malaysia termasuk pernah dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Negara menggantikan Tan Sri Benedict Stephens bermula pada 12 Julai 1988 hingga 9 Julai 1990.

“Beliau juga telah menyumbang jasanya dari sudut perjuangan politik khasnya dalam parti PBB dan sudah tentu PBB kehilangan pemimpin yang mempunyai banyak pengalaman,” kata Abang Johari lagi.

Secara peribadi, jelasnya, beliau turut kehilangan seorang bapa saudara yang banyak memberi nasihat kepada generasi muda dalam menawarkan perkhidmatan kepada rakyat.

“Saya kehilangan seorang ayah saudara kerana Tan Sri adalah sepupu kepada Allahyarham ayah saya.

“Sudah tentu kita merasa kehilangan beliau di antara orang dari generasi tua yang banyak memberi nasihat kepada kita generasi muda dalam sudut bagaimana kita hendak berkhidmat dengan masyarakat,” ujarnya.

Allahyarham Tan Sri Abang Ahmad Urai, 89 tahun, meninggal dunia di Pusat Rawatan Pakar Normah, Kuching sekitar jam 12.30 tengah malam Sabtu.

Jenazah Allahyarham telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Bahagian Kuching selepas Zohor. — DayakDaily