GPS sedia rampas semula kerusi Parlimen Mas Gading — Harry

Abang Johari (lapan dari kanan) bersama Harry (tujuh dari kanan) bersama tetamu lain di Majlis Rumah Terbuka Gawai 2022 di Bau.

Oleh Chris Bishop

BAU, 12 Jun: Nasib pelobi bagi kerusi Parlimen Mas Gading, Lidang Disen yang mewakili Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan dibawa ke mesyuarat majlis tertinggi parti, kata Naib Presiden Parti Progresif Demokratik (PDP) Dato Henry Harry Jinep.

Menurut Harry, paling penting calon ini nanti diyakini boleh merampas semula kerusi tersebut daripada Parti Tindakan Demokratik (DAP)


“Kita akan bawa ke mesyuarat majlis tertinggi parti, terpulang kepada pucuk pimpinan membuat keputusan.

“Sambutan penduduk perlu dinilai dan diambil kira di mana Perlimen Mas Gading ada dua kawasan Dun (Dewan Undangan Negeri) iaitu Opar dan Tasik Biru,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Gawai 2022 di Dewan Suarah Bau hari ini.

Tambah Harry yang juga Adun Tasik Biru, Lidang diberi peluang untuk melobi sebagai calon dan terpulang juga kepada rakyat untuk menerima atau tidak.

“Ini adalah kempen terbuka, agensi berkaitan akan menilai prestasi setiap pelobi.

“Kita mahukan calon yang boleh mengembalikan kerusi Parlimen Mas Gading kepada GPS pada pilihanraya akan datang,’ kata Harry.

Majlis dihadiri Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Hadir sama Presiden PDP Dato Sri Tiong King Sing, Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Dato Sri Dr Sim Kui Hian dan Speaker DUN Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar. — DayakDaily