Pemergian Ngalinuh Bala satu kehilangan besar kepada bangsa dan negara: Wan Junaidi

Isteri mendiang, Sabit Iwat @Sinah Ngelinuh Bala, 73, meratapi jasad suami nya ketika upacara penghormatan pada pagi Jumaat.

Oleh Peter Sibon

KUCHING, June 26: Pemergian mendiang Sub-Inspektor (bersara) Ngalinuh Bala @ Kilah Ratu (SP) disifatkan satu kehilangan besar kepada bangsa dan negara, jelas ahli Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

“Saya menzahirkan ucapan takziah buat keluarga mendiang Sub-Inspektor (bersara) Ngalinuh Bala @ Kilah Ratu (S.P) yang telah meninggal dunia (pada hari Selasa) akibat komplikasi paru-paru di Hospital Miri, Sarawak.


“Mendiang merupakan penerima Pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP) yang dikurniakan oleh Almarhum Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-V, Sultan Al-Mu’tasimu Billahi Muhibuddin Tuanku Al-Haj Abdul Halim Mu’adzam Shah Ibni Al-Marhum Sultan Badlishah pada 6 Julai 1972.

“Darjah Keberanian tertinggi Kerajaan Malaysia ini dianugerahkan kepada mendiang sebagai penghormatan dan pengiktirafan di atas keberanian beliau menumpaskan pengganas komunis dalam satu insiden serang hendap oleh pihak musuh di Jalan Ulu Oya, Sibu, Sarawak pada 29 April 1972,” kata Wan Junaidi dalam satu kenyataan hari ini.

Wan Junaidi yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, beliau pernah berkhidmat bersama mendiang suatu ketika dulu dalam Pasukan Polis Hutan (PPH) di Kem Riam, Miri.

“Saya mengetahui penuh apa yang berlaku semasa pertempuran Jalan Oya, Sibu, yang berlaku semasa penghantaran bahan letupan tersebut.

“Insiden bersejarah yang menjulang namanya sebagai wira negara tersebut berlaku semasa mendiang bertugas di Batalion 18 PPH yang ketika itu bertempat di Sibu, Sarawak,” kata Wan Junaidi.

Mendiang Sub Inspektor (bersara) Ngalinuh Bala @ Kilah Ratu (S.P) berbangsa Kelabit, dilahirkan pada 1 Januari 1941, di Kampung Pa Lungan, Bario, telah memasuki perkhidmatan polis pada 14 Januari 1961.

Tugas terakhir mendiang sebelum bersara wajib pada 31 Disember 1995 ialah sebagai Sub-Inspektor Kebajikan di Ibu Pejabat Daerah Polis Miri.

“Negara bukan sahaja kehilangan seorang pahlawan yang dikurniakan pingat SP yang telah banyak berjasa kepada negara, khususnya buat negeri Sarawak, tetapi juga kepada keluarga mendiang dan sahabat-sahabat seperjuangannya juga merasa kehilangan mendiang.

“Selamat berehat buat selama-lamanya, sahabat dan Perwira Negaraku,” tambah Wan Junaidi. —DayakDaily.