Pembuangan sampah dan sisa pepejal secara haram meruncingkan MPP

Kakitangan MPP membersihkan sampah dan sisa pepejal yang dibuang secara haram di tepi jalan dalam kawasan seliaan MPP

KUCHING, Jun 27: Pembuangan sampah dan sisa pepejal secara haram di tepi jalan atau kawasan yang tidak dibenarkan masih menjadi masalah yang meruncingkan di dalam konstituensi seliaan Majlis Perbandaran Padawan (MPP).

Pengerusi MPP, Lo Khere Chiang berkata pihaknya telah membelanjakan kira-kira RM42,130 dari tahun 2014 hingga 2017, hanya untuk membersihkan 2,343 tan sampah dan sisa pepejal yang dibuang secara haram di kawasannya.

“Kebanyakan pembuangan sampah secara haram dilakukan untuk mengelakkan bayaran pelupusan di tapak pelupusan yang ditetapkan atau kegagalan untuk mengambil masa dan usaha bagi melupuskan sampah dengan betul.

“Kawasan biasa bagi longgokan sampah haram ini ditemui adalah di tempat kosong, lorong, tempat pembuangan sampah komersial dan tepi jalan,” katanya.

Lo yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang berkata pembuangan sampah haram boleh menyebabkan penurunan nilai harta benda dan menjejaskan kesihatan awam, termasuk menyebabkan pencemaran.


“Sampah haram yang dibuang di merata-rata boleh menyebabkan longkang tersumbat dan banjir kilat serta memusnahkan ekosistem hidupan dan tumbuhan,” katanya. — DayakDaily