Lima kes demam denggi dalam kawasan MPP setakat Jun 2018

Lo (tengah) melakukan lawatan ke tempat yang didapati positif pembiakan nyamuk Aedes di dalam kawasan MPP.

KUCHING, Jun 27: Sebanyak lima kes penyakit demam denggi direkodkan di kawasan Majlis Perbandaran Padawan (MPP) dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, kata pengerusinya Lo Khere Chiang.

Malah, katanya kesemua kes tersebut adalah dilaporkan pada Mac dan April lalu, iaitu membabitkan kawasan di Batu 3-8 Jalan Matang, Taman Green Acres Jalan Batu Kawa-Matang, Lorong 1 High Park Batu 12, Lorong 10 Taman Matang Jaya dan Jalan Field Force.

“Ini adalah berdasarkan statistik yang dinotifikasi oleh Pejabat Kesihatan Bahagian Kuching,” katanya.


Sehubungan itu, Lo yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang berkata langkah segera yang diambil MPP sebaik menerima laporan kes adalah dengan melakukan pengasapan (‘fogging’) untuk membunuh nyamuk Aedes dewasa.

Selain itu adalah dengan melakukan aktiviti ‘Survei Larva’ serta ‘Cari dan Musnah’ bagi memastikan tiada tempat berpotensi bagi pembiakan larva nyamuk Aedes.

“Aktiviti pengasapan kawalan hanya dilakukan mengikut keperluan, iaitu bekas kawasan wabak dan mengikut keperluan sekiranya Indes Aedes di sesuatu lokaliti melebihi 1 peratus,” katanya. — DayakDaily