Pembinaan perhiasan air pancutan sungai bermuzik dijangka bermula tahun ini

Abang Johari (tiga dari kanan) bersama tetamu kehormat lain memotong kek semasa merasmikan Festival Chap Goh Meh 2018 anjuran DBKU di India Street Predestrian Mall.

KUCHING, Mac 4: Kerajaan negeri merancang membina perhiasan pancutan air sungai bermuzik di belakang Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi mengindahkan lagi pemandangan kawasan Tebingan Kuching di pusat bandaraya ini.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata demikian dan menjangka kerja pembinaan perhiasan itu akan bermula tahun ini tetapi belum lagi memaklumkan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) mengenai perancangan terbabit bagi dilaksanakan pihak berkuasa tempatan itu.

“Saya bagaimanapun sudah menyediakan sejumlah dana bagi memulakan pembinaan perhiasan pancutan air sungai terbabit seperti yang sudah terdapat di Marina Bay, Singapura,” katanya ketika merasmikan Festival Chap Goh Meh 2018 anjuran DBKU di India Street Predestrian Mall, di sini, semalam.


Majlis itu juga dihadiri isteri Ketua Menteri Datin Patinggi Datuk Juma’ani Tun Tuanku Bujang, Ahli Dewan DBKU Dato Wee Hong Seng, Pengarah DBKU Jumaini Haili, Presiden Persekutuan Persatuan Cina Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian, Dato Richard Wee, dan Presiden Persekutuan Kebajikan Perniagaan India Muslim, Dr Shah Jehan.

Abang Johari berkata seperti di Marina Bay juga, perhiasan terbabit berhampiran Kompleks DUN boleh diprogramkan pada waktu tertentu bagi berfungsi menghiasi pemandangan sungai dengan semburan pancutan air yang akan serentak diiringi muzik bagi dapat dilihat orang ramai di Tebingan Kuching.

Bagaimanapun beliau tidak mendedahkan butiran lain perancangan pembinaan perhiasan itu tetapi bagi melangkapkannya satu air terjun buatan manusia akan turut dibina dihadapan bangunan bersejarah Fort Margherita.

“Kita akan menjadikan air terjun terbabit keluar dari kawasan berbukit di Fort Margherita dengan dihiasi lampu dan disana juga akan dibina restoran ‘tea house’ iaitu tempat bagi mereka yang mahu menikmati sesi minum teh ala budaya masyarakat barat atau menyerupai ‘English Tea House’,” katanya.

Beliau berkata semua pelayan restoran terbabit akan berpakaian ala barat dengan memakai stokin kaki yang panjang dan ini membolehkan ramai dapat merasai pengalaman minum teh dengan dilayan seperti golongan kenamaan ketika era pemerintahan Rajah Putih suatu ketika dahulu di restoran tersebut. — DayakDaily