Pemancing terkejut jumpa kepala manusia tanpa tubuh badan

Anggota polis mengangkat satu kepala yang ditemui di tebing Sungai Batang Lupar.

SRI AMAN, Mac 4: Seorang penduduk kampung yang dalam perjalanan pulang dari memancing ikan terkejut apabila menemui satu kepala manusia tanpa badan di tebing Sungai Batang Lupar, Skait Lama di sini semalam.

Menurut sumber, penduduk kampung tersebut menjumpai bahagian kepala dipercayai wanita itu pada pukul 4.30 petang.

Katanya, terkejut dengan penemuan itu, dia terus menghubungi pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Ketua Polis Daerah Sri Aman, Dsp. Othman Sulaiman, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan penemuan bahagian kepala dipercayai wanita itu.

Jelasnya, sepasukan anggota polis kemudian ke lokasi penemuan bahagian kepala berkenaan bagi melakukan siasatan lanjut.

“Sebaik tiba di tempat tersebut, pasukan polis kemudian menemui satu kepala dalam keadaan terputus.

“Anggota polis tidak menemui sebarang identiti mangsa berdekatan tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Othman menambah, bahagian kepala itu kemudian dibawa ke Hospital Sri Aman untuk tindakan lanjut.

Katanya, proses bedah siasat akan dilakukan bagi mengenalpasti DNA mangsa.

“Buat masa ini, kes berkenaan masih diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” ujarnya. — DayakDaily