Pembinaan muzium lombong emas Bau dijangka bermula tahun 2021

Datuk Henry Harry Jinep (kiri) menyaksikan pameran berkaitan dadah di Bengkel Komuniti Sejahtera OSC MIDS Daerah Bau 2020.

BAU, 24 Sept: Muzium lombong emas yang akan menjadi mercu tanda dan tarikan baharu bagi pekan Bau dijangka dapat dimulakan pembinaanya tahun hadapan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru, Datuk Henry Harry Jinep berkata demikian dan kerajaan Sarawak sudah melantik juruperunding bagi mengkaji cadangan pembinaan muzium itu yang akan mempamerkan pelbagai barangan berkaitan kegiatan perlombongan emas dan juga budaya penduduk kawasan terbabit.

“Tapak muzium terbabit tidak jauh dari Tasik Biru, keluasannya terpulang kepada kaji selidik yang dibuat juruperunding terbabit. Kalau ikut perancangan (pembinaanya) setelah habisnya kajian itu hujung tahun ini dan akan bermula setelah masuk RMK12 iaitu tahun hadapan,”katanya selepas merasmikan Bengkel Komuniti Sejahtera One Stop Committee Menangani Isu Dadah dan Substance (OSC MIDS) Daerah Bau 2020, di Dewan Suarah Bau, di sini, hari ini.


Henry berkata peruntukan pembinaan muzium itu pula belum lagi ditentukan tetapi dalam Bau District Blue Print 2016-2030 peruntukkannya sebanyak RM26 juta sudah dipersetujui kerajaan secara prinsip dalam Rancangan Malaysia Ke-12.

“Kita tidak tahu lagi (samada muzium dapat siap tahun hadapan) dan juga belum mengetahui bentuk bangunan muzium lagi kerana kajian juruperunding belum disiapkan lagi,”katanya.

Disamping itu, beliau juga menyangkal cadangan pembinaan muzium terbabit adalah antara janjinya yang mesti ditunaikan sebelum menghadapi pilihan raya negeri yang bakal menjelang.

“Tidak, ini tiada kaitan dengan janji pilihan raya, ini dalam Bau District Blue Print yang telah dilancarkan sejak 2016 dan kami sudah mengusahakannya sejak dua tiga tahun lepas,”katanya dan menjelaskan muzium itu adalah antara perancangan untuk terus membangunkan daerah Bau. — DayakDaily