Hospital swasta antara topik yang dibincangkan dengan pelabur Korea Selatan

Riot (tengah) sedang berbincang sesuatu dengan pelabur-pelabur dari Korea Selatan di pejabat beliau di Putrajaya hari ini.

KUCHING, Sept 24: Duta khas Perdana Menteri ke Jepun, Korea Selatan dan Taiwan hari ini mengesyorkan agar pelabur dari Korea Selatan membina sebuah hospital swasta di Sarawak.

“Saya telah mencadangan supaya mereka membawa pelabur untuk mendirikan sebuah hospital swasta di Sarawak ala St. Vincent’s Hospital di Suwon, Korea Selatan,” kata Riot dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru kata beliau, sememangnya banyak syarikat gergasi dari Korea Selatan yang sudah melabur dan mendirikan kilang-kilang di Malaysia. Antaranya Samsung, Hyundai Daelim, Titan dan lain-lain.


“Mereka berfokus dengan membawa empat cadangan dan dua darinya dicadangkan di Sarawak seperti mendirikan kilang pengeluaran pilet aluminum, kilang pengeluaran sarung tangan getah nitrile, kilang pemprosesan amonia dan kilang pengeluaran kit perubatan dan ujian,” jelas beliau.

Riot yang juga MP Serian berkata demikian setelah menerima kunjungan dari komuniti perniagaan Korea Selatan di Malaysia di pejabat beliau di Putrajaya pagi tadi.

Sesi perbincangan berkisar kepada cadangan mereka untuk membawa masuk pelaburan lagi ke Malaysia.

Turut hadir bersama dalam pertemuan ini ialah Chon Yong Ho, Pengarah Korea SME’s and Startups Agency (KOSME), sebuah agensi kerajaan Korea Selatan.—DayakDaily