SRI AMAN, 6 April: Pemandu kereta Perodua Axia yang videonya tular di media sosial memotong kenderaan lain sehingga hampir menyebabkan kemalangan di kilometer 3 Jalan Sri Aman telah diambil tindakan.
Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kontinjen Sarawak dalam satu kenyataan memberitahu pemandu kereta telah berjaya dikesan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan (BSPT) Sri Aman.
“Pada 5 April, jam lebih kurang 2.45 petang, pemandu Perodua Axia tersebut telah hadir di BSPT Sri Aman untuk membantu siasatan.
“Hasil siasatan, pemandu berkenaan mengakui melakukan kesalahan memandu dan memotong cara merbahaya,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuatnaik di Facebook JSPT Kontinjen Sarawak.
Jelasnya, pemandu kereta terbabit telah diambil tindakan kerana melalukan kesalahan dibawah Kaedah-Kaedah Pengangkutan Jalan – Rule 6(1)LN166/59 (memotong secara merbahaya).
Video tersebut dikesan dikongsi beberapa akaun Facebook sejak Rabu, di mana kereta tersebut dirakam kamera papan pemuka sebuah kereta sedang memotong secara merbahaya dan hampir menyebabkan kemalangan.
Video tersebut menerima komen negatif atas tindakan pemandu ini yang melawan arus dan membahayakan pengguna jalan raya lain. — DayakDaily