Tatu motif Iban, Bidayuh atau Orang Ulu bawa identiti Sarawak ke seluruh dunia

Pelanggan mengambil peluang darioada expo mencacah tatu di paha.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 6 April: Tatu bantu memperkenalkan identiti Sarawak ke seluruh dunia, kata Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Snowdan Lawan.

“Saya pernah berjumpa dengan beberapa warga luar negara yang memiliki tatu bermotifkan Iban di badannya.


“Mereka ini mengembara ke seluruh dunia bersama ukiran tatu Iban di badan, secara langsung telah memperkenalkan identiti Sarawak ke mata dunia,” kata Snowdan.

Beliau berkata demikian di Perasmian Ekspo Tatu Antarabangsa Kuching 2024 di Dewan Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) hari ini.

Tambah Snowdan, ukiran tatu badan yang bermotifkan etnik negeri ini antara yang popular dikalangan peminat tatu dunia.

Katanya, sama ia tatu Iban, Bidayuh atau Orang Ulu, ia adalah merupakan identiti Sarawak.

Snowdan memukul gong sebagai simbolik Perasmian Ekspo Tatu Antarabangsa Kuching 2024.

“Ia adalah seperti masyarakat Maori di New Zealand yang juga memiliki tatu mereka sendiri. Maka ia adalah identiti Maori,” ujar Snowdan.

Festival Tatu Antarabangsa Kuching yang diadakan pada 5 hingga 7 April anjuran bersama Skrang Tattoo and Piercing Studio dengan Inkzation Tattoo Studio.

Sebanyak 45 gerai tatu disediakan semasa ekspo, termasuk gerai yang dikendalikan oleh artis tatu dari Belanda, Sweden, India, Indonesia.

Turut terlibat artis dari Filipina, Semenanjung Malaysia dan perkhidmatan menindik oleh artis Perancis.

Selain pameran pelbagai aktiviti kebudayaan turut diadakan termasuk persembahan sape, muzik tradisional serta kraf tangan untuk dijual. — DayakDaily