Op Rentas sempena Aidilfitri keluarkan 3,470 saman

Anggota polis sedang menjalankan sekatan jalan raya. Fail Foto

KUCHING, 18 Mei: Sejumlah 3,470 saman telah dikeluarkan polis di sepanjang Op Rentas sempena Perayaan Hari Raya Aidilfitri yang dilaksanakan mulai 10 hingga 16 Mei lepas.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Alexson Naga Chabu berkata, dalam operasi tersebut sejumlah 28 motosikal disita di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas pelbagai kesalahan.

“Dalam operasi ini juga, seramai 8,470 orang dan 6,956 kenderaan telah diperiksa di semua lokasi sekatan jalan raya(SJR).


“Manakala sebanyak 476 kenderaan telah diarah berpatah balik ketika melalui SJR disebabkan tiada surat kebenaran merentas zon,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Alexson, sebanyak 50 lokasi diberi tumpuan di sepanjang Op Rentas yang bertujuan mendidik pengguna jalan raya untuk sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan lalu lintas. — DayakDaily