Pemandu jengkaut dalam insiden runtuhan batu di Bau, ditemui mati

Usaha mengeluarkan mangsa dari lokasi kejadian.

BAU, 14 Sept: Pemandu jengkaut yang tertimbus runtuhan batu di sebuah kuari di Tanjung Durian, di sini berjaya dikeluarkan dan disahkan meninggal dunia.

Mangsa, 49 tahun, berjaya dikeluarkan oleh anggota penyelamat dari Balai Bomba Bau pada jam 12.23 tengah hari.

Ketua Bomba Bau Tawang Lingem berkata usaha mengeluarkan mangsa dilakukan selepas pihak kuari berjaya menjumpai sebahagian tempat duduk jengkaut iaitu tempat mangsa tertimbus.

“Jentara jengkaut yang melakukan kerja-kerja mengalihkan batu-batu yang runtuh telah menjumpai sebahagian tempat duduk mangsa yang tertimbus.

“Anggota kemudian diarahkan menjalankan kerja-kerja penyelamatan dengan menggunakan peralatan menyelamat untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit dan tertimbus,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada jam 12.23 tengah hari, mayat berjaya dikeluarkan dari jengkaut dan seterusnya diserahkan kepada polis untuk tindakan.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa dilakukan tadi semalam sebelum ditangguh disebabkan faktor keselamatan dan disambung semula pada jam 8.45 pagi tadi.

Pada jam 10.32 pagi tadi, pasukan operasi SAR oleh pihak kuari yang menjalankan pembersihan tapak telah menemui bahagian tangki minyak jengkaut berkenaan dan usaha mengorek terus dilakukan sehingga berjaya menemui mangsa.

Kira-kira jam 3.18 petang semalam, mangsa bersama jengkaut yang dikendalikannya telah dihempap dan ditimbus runtuhan batu yang dianggarkan sebesar 20 meter ketika sedang membuat kerja meratakan batu di kuari berkenaan.

Kejadian dipercayai berpunca daripada kerja pengeboman bagi memecahkan batu di kawasan kuari pada sebelah pagi semalam sehingga menyebabkan struktur batu tidak stabil dan runtuh. — DayakDaily