Pemaju dan kontraktor perlu laksana amalan KKP

Pasukan bomba berusaha mengeluarkan mangsa.

KUCHING, Dis 26: Pemaju dan kontraktor mesti melaksanakan amalan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) yang terbaik di tapak pembinaan dan kawasan kerja bagi mengelakkan kemalangan yang melibatkan pekerja dan orang awam.

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, antara lain, mereka perlu mengguna pakai konsep pengenalpastian bahaya, penilaian risiko dan kawalan risiko (HIRARC) yang dapat membantu pekerja dan penyelia mereka untuk mengenal pasti bahaya dan risiko dan mencari cara untuk mengelakkannya.

Beliau berkata sedemikian merujuk kepada insiden terbaru yang berlaku di Padang Merdeka, Kuching hari ini apabila seorang lelaki maut setelah motosikal yang ditunggangnya terjunam ke dalam lubang sistem saliran dan perparitan yang sedang diselenggara.

“Kontraktor terbabit perlu meletakkan papan tanda amaran yang jelas di lokasi strategik manakala penghadang yang sesuai perlu diletakkan bagi mengelakkan kenderaan memasuki kawasan berisiko tinggi.

“Penghadang konkrit perlu dipasang di kawasan kerja terbabit jika projek berkaitan memerlukan masa yang agak lama untuk diselesaikan,” katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.


Mengulas lanjut, Lee berkata, pihak berkuasa terbabit pula perlu melaksanakan audit keselamatan bagi memastikan kawasan kerja atau tapak pembinaan tersebut tidak mendatangkan bahaya kepada pekerja dan orang ramai

Katanya, pihak terbabit perlu ingat setiap kali berlakunya kemalangan yang membawa kepada kecederaan atau kematian, tragedi tersebut akan turut memberi kesan kepada keluarga mangsa yang terlibat.

“Walaupun pihak kerajaan menguatkuasakan undang-undang, tanggungjawab untuk melaksanakan sistem keselamatan di tapak pembinaan sebenarnya terletak di bahu kontraktor dan subkontraktor.

“Mereka yang menghasilkan risiko dan bahaya berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk menguruskan masalah tersebut,” ujarnya lagi.

Sambil menambah, beliau memberitahu, setiap kontraktor mestilah bertanggungjawab untuk memastikan tempat kerja mereka sentiasa selamat dan sihat.

Sebelum ini, DayakDaily melaporkan seorang lelaki maut dalam satu kejadian di Jalan Padang Merdeka akibat terbabas dan motosikal terhumban masuk ke dalam sebuah parit besar di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.20 pagi itu, mangsa Dina Dzulkarnain Asan, 29, disahkan meninggal dunia dipercayai akibat lemas di dalam parit yang berair di situ.

Sebelum kejadian, mangsa yang menunggang motosikal seorang diri dikatakan sedang menuju ke arah pusat bandar raya ini.

Bagaimanapun, malang menimpa mangsa apabila motosikal yang ditunggangnya dikatakan hilang kawalan lalu terbabas dan terhumban masuk ke dalam parit besar di situ.

Akibat kemalangan itu, mangsa tercampak dari motosikalnya dan dalam keadaan mukanya tertiarap. — DayakDaily