Motosikal terhumban dalam parit besar, lelaki maut dipercayai akibat lemas

Keadaan mangsa selepas motosikalnya terhumban masuk ke dalam parit.

KUCHING, Dis 26: Akibat terbabas dan motosikal terhumban masuk ke dalam sebuah parit besar, seorang lelaki maut dalam satu kejadian di Jalan Padang Merdeka di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.20 pagi itu, mangsa Dina Dzulkarnain Asan, 29, disahkan meninggal dunia dipercayai akibat lemas di dalam parit yang berair di situ.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri Sarawak, DSP Bingkok John berkata, sebelum kejadian, mangsa yang menunggang motosikal seorang diri dikatakan sedang menuju ke arah pusat bandar raya ini.


Bagaimanapun katanya, malang menimpa mangsa apabila motosikal yang ditunggangnya dikatakan hilang kawalan lalu terbabas dan terhumban masuk ke dalam parit besar di situ.

“Akibat kemalangan itu mengakibatkan mangsa tercampak dari motosikalnya dan dalam keadaan mukanya tertiarap.

“Orang awam yang kebetulan melalui jalan berkenaan kemudian menghubungi pihak berkuasa untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Pasukan bomba berusaha mengeluarkan mangsa.

Mengulas lanjut, Bingkok memberitahu, pihak polis kemudian menghubung pasukan bomba untuk bantuan mengeluarkan mangsa.

Katanya, mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Umum Sarawak untuk dibedah siasat.

“Kes itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. — DayakDaily

Ends