Kontraktor maut, Toyota Harrier rempuh tiang lampu isyarat

Keadaan kenderaan mangsa yang terbalik.

KUCHING, Dis 26: Seorang kontraktor menemui ajal, manakala dua rakannya cedera apabila sebuah kenderaan jenis Toyota Harrier yang dinaiki mereka hilang kawalan lalu merempuh tiang lampu isyarat di Jalan Lapangan Terbang di sini awal pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2 pagi itu, mangsa Kiung Choi Kwong, 41, disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan akibat kecederaan parah pada kepalanya.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri Sarawak, DSP Bingkok John berkata, sebelum kejadian, ketiga-tiga mangsa dikatakan sedang dalam perjalanan menuju ke arah Jalan Penrisen dari pusat bandar raya ini.

Bagaimanapun katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, Toyota Harrier yang dipandu Choi Kwong dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan merempuh tiang lampu isyarat di bahu jalan berkenaan.

“Kesan pelanggaran kuat itu mengakibatkan Toyota Harrier dipandu mangsa berpusing beberapa kali lalu terbalik.


“Nahas tersebut telah menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah pada bahagian kepalanya, manakala dua mangsa lain cuma mengalami kecederaan ringan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, Bingkok memberitahu, siasatan awal di lokasi kemalangan mendapati tiada kenderaan lain terlibat dalam nahas itu.

Katanya, cuaca adalah baik ketika kejadian dan jalan di tempat kejadian adalah lurus.

“Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. — DayakDaily

Share this article!