Pelawat dinasihatkan mengambil langkah berjaga-jaga bila mengunjungi Taman Negara Bako

Gambar papan tanda Taman Negara Bako yang diperolehi dari laman Facebook SFC.

KUCHING, Jan 8: Pelancong dan orang ramai yang mahu mengunjungi Taman Negara Bako di sini dinasihatkan mengambil langkah berjaga-jaga dengan kemungkinan berlaku ganguan perjalanan bot membawa mereka ke taman itu ketika musim tengkujuh ini.

Sarawak Forestry Corporation (SFC) mendedahkan ini kerana pihak pengurusan Taman Negara Bako sudah mengeluarkan notis semalam yang keadaan cuaca ketika ini telah menganggu perjalanan bot yang menghantar dan mengambil penumpang dari Terminal Bako di Kampung Bako ke taman negara terbabit.

“Ini disebabkan keadaan laut dan juga mematuhi amaran keselamatan yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia,” menurut pengumuman media SFC yang disiarkan di laman Facebook SFC semalam.


Sehubungan itu bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini, pengunjung ke taman negara itu dinasihatkan mengambil langkah berjaga-jaga termasuk menghubungi pengusaha bot bagi mengetahui keadaan laut di sana sebelum berlepas ke terminal bot Taman Negara Bako di talian 011-19646870 atau 011-25182349.

Gambar menunjukkan perjalanan pengunjung mengunakan bot di Taman Negara Bako yang diperolehi dari laman Facebook SFC.

“Sila periksa dengan pengusaha bot dan pejabat Taman Negara Bako sebelum merancang perjalanan anda kerana keselamatan kamu adalah keutamaan utama kami,” menurut kenyataan terbabit.

SFC juga menasihatkan pengunjung taman negara itu menghubungi pejabat Taman Negara Bako bagi mengetahui status tempahan penginapan mereka di terminal itu di talian 082-370434 (8 pagi-5 petang setiap hari) atau pengurus taman itu di talian 016-8903151.

Taman Negara Bako terletak 37km dari Kuching dan kaya dengan flora dan fauna sehingga merekodkan 316 spesies tumbuhan, 22 spesies burung, 24 spesies haiwan reptilia dan binatang berdarah sejuk, 57 spesies mamalia termasuk monyet hidung muncung atau monyet orang Belanda serta yang bernasib boleh terserempak dengan spesies ikan lumba-lumba dilindungi sepenuhnya di negeri ini.

Selain itu, taman negara tersebut juga ada spesis monyet Macaque, biawak dan tupai. ā€” DayakDaily