Pelantar benua Sarawak kekal 12 batu nautika, zon ekonomi 200 batu nautika

Wan Junaidi pada ceramah MA63 di Dataran Krokong di Bau.

Oleh Chris Bishop

BAU, DISEMBER 14: MP Santubong, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar menegaskan pelantar benua Negeri Sarawak kekal 12 batu nautika selain memiliki zon ekonomi sejauh 200 batu notika.

Katanya, perkara tersebut diisyitiharkan Ratu Elizebeth pada tahun 1954 dan tidak pernah dipinda ataupun dimansuh sehingga sekarang.


“Maknanya, kita (Sarawak) seharusnya mengawal selia perkara yang berhubung dengan perlesenen, aktiviti perikanan termasuklah aktiviti minyak dan gas di kawasan perairan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi ceramah ‘Perjanjian Malaysia 1963’ bersempena Majlis Penyerahan Surat Hak Milik Tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak di Dataran Krokong di Bau, hari ini.

Tambah beliau, sudah termaktub di dalam Perlembagaan Malaysia bahawa tanah dan perairan Sarawak tidak boleh diceroboh walau seinci melainkan melalui kaedah perundangan.

“Jangan serah satu inci pun tanah Sarawak kepada sesiapa dan itulah hakikat sebenarnya Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Hal-hal berhubung minyak, gas, hutan, perlombongan, imigresen, tanah dan yang lain-lain adalah milik kerajaan negeri,” ujar beliau.

Dalam pada itu, beliau juga berkata bahawa Gabungan Parti Sarawak (GPS) adalah benteng terkuat untuk mempertahankan hak-hak Sarawak yang telah dipersetujui di dalam MA63.

Tegas beliau, rakyat mesti memastikan yang GPS sekali lagi menubuhkan kerajaan selesai Pilihanraya Negeri Ke-12 (PRN12) nanti.

“Kalau tidak, kerajaan baharu boleh mengubah undang-undang dan semua kekayaan dari sumber minyak dan gas kita akan diambil.

“Banyak lagi hak-hak Sarawak boleh diambil jika mereka menjadi pemerintah dan GPS adalah benteng terakhir,” katanya.

Rakyat mesti memberi jaminan kemenangan buat GPS pada PRN12 dan kemenangan itu adalah untuk mempertahankan hak-hak Sarawak, tambah Wan Junaidi.— DayakDaily