Pelaksanaan Perintah Bayaran Keluar dan Bayaran Masuk 2020 ke Brunei ditangguh 1 Okt

Awang Tengah (kanan) pada sidang media di Limbang hari ini. (1 Ogos, 2020)

KUCHING, 1 Ogos: Pelaksanaan Perintah Bayaran Keluar dan Bayaran Masuk 2020 ke Brunei yang sepatutnya berkuatkuasa hari ini ditangguhkan kepada 1 Oktober depan.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, penangguhan itu membolehkan perundingan dalaman dan perbincangan bersama kerajaan Malaysia diteruskan untuk menilai dan meneliti beberapa perkara berbangkit menerusi surat bertarikh 20 Julai lepas kepada Brunei Darussalam.

“Kita amat menghargai tali persahabatan dan hubungan yang amat rapat di antara Brunei Darussalam dan Malaysia, khususnya kita di Sarawak ini.


“Bagi pihak kerajaan negeri Sarawak, saya mengucapkan terima kasih kepada Brunei Darussalam dan terima kasih juga kepada Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Kedua Brunei Darussalam Yang Berhormat Dato Haji Erywan Haji Mohd Yusof,” katanya pada sidang media di Lapangan Terbang Limbang hari ini.

Awang Tengah turut memaklumkan beliau telah menerima surat daripada Erywan pada 30 Julai, 2020 bagi menyatakan tentang keputusan Brunei Darussalam untuk menangguhkan Perintah Bayaran Keluar dan Bayaran Masuk kepada 1 Oktober, 2020.

Katanya, penangguhan sementara pelaksanaan bayaran tersebut memberikan sedikit kelegaan kepada penduduk di Bahagian Limbang yang akan terkesan dengan pelaksanaannya.

Hadir sama Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, Residen Bahagian Limbang Ir. Ahmad Denney Ahmad Fauzi dan Pegawai Imigresen Bahagian Limbang Khalthom Ahmad.-DayakDaily.