Peladang, peruncit antara 12 dikompaun catut harga ayam

Pihak KPDNHEP melakukan pemantauan harga ayam

Oleh Cornelius Kadir Edision

PUTRAJAYA, 16 Okt.: Sebanyak 12 pihak berkaitan industri termasuk peladang, pemborong dan peruncit ayam dikenakan kompaun oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) selepas didapati sengaja menaikan harga ayam di pasaran.

Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata 12 pihak itu terdiri daripada lapan peladang, dua pemborong dan dua peruncit.

Beliau berkata, pemantaun di lakukan oleh KPDNHEP di bawah perundangan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 susulan aduan yang diterima daripada orang awam pada 15 Jun 2020.

“Hasil daripada pemeriksaan yang dilaksanakan, sebanyak 286 notis telah dikemukakan kepada peniaga di peringkat peruncit, pemborong dan peladang ayam untuk mendapatkan maklumat dan mengesan sama ada berlakunya aktiviti pencatutan.

“Sebanyak 12 kes telah diambil tindakan di bawah Seksyen 21(5), Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 daripada 19 kertas siasatan yang dibuka oleh kita selepas pemeriksaan tersebut dilaksanakan.

“Semua kes tersebut telah dikenakan tindakan kompaun sebanyak RM50,000,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Kata Iskandar Halim, Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP sentiasa memandang serius isu peniaga yang cuba mengambil kesempatan untuk melakukan aktiviti pencatutan khususnya ketika negara sedang berhadapan dengan situasi pandemik Covid-19 pada waktu ini.

“Mana-mana peniaga yang menaikkan harga barangan atau caj bagi suatu perkhidmatan tanpa mematuhi perundangan pencatutan akan disiasat dan diambil tindakan yang tegas di bawah akta tersebut,” tegas beliau. -DayakDaily