PEKEMA Sarawak: Perang perdagangan antara China dan Amerika Syarikat tidak akan menjejaskan pasaran kenderaan import

Abang Khalid (enam dari kiri) bersama tetamu yang mengunjungi rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri di kediamannya.

KUCHING, Jun 5: Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) Sarawak menjangkakan perang perdagangan antara China dan Amerika Syarikat ketika ini tidak akan menjejaskan pasaran kenderaan import di Sarawak.

Presidennya, Tan Sri Abang Khalid Abang Marzuki berkata menjangkakan pasaran kenderaan import di Sarawak akan terus kekal seperti biasa bagi enam bulan seterusnya tahun ini.

“Ini kerana perang perdagangan itu tidak relevan dengan (pasaran) kami, ia lebih kepada pasaran peralatan teknologi telekomunikasi. Tidak dapat dinafikan yang China amat kehadapan dalam teknologi itu,” katanya ketika mengadakan rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri di kediamanya di Satok, di sini, hari ini.


Abang Khalid berkata ini menyebabkan Amerika Syarikat kurang senang dengan pencapaian China dalam teknologi berkenaan sehingga tercetusnya perang tersebut yang tidak sebarang kaitan pasaran dan perniagaan kenderaaan import.

“Begitu juga harga kereta (import di Sarawak), mungkin akan kekal sama ataupun mungkin lebih tinggi kerana harga kenderaan di Jepun agak mahal,” katanya.

Kata beliau, walaupun kenderaan import semakin mahal ditambah jualannya agak perlahan kerana keadaaan ekonomi dunia yang lembap, ramai ahli PEKEMA Sarawak masih tetap mampu mempertahankan perniagaan masing-masing.

“Jualan kenderaan kami ketika musim perayaan Hari Raya ini pun kurang, purata ada lima atau enam unit dan paling bagus pun lapan hingga 10 unit sebulan,” katanya, sambil menambah ini berbeza dengan pasaran lebih baik dinikmati ahli PEKEMA Sarawak pada 10 tahun lepas. — DayakDaily