PEKEMA Sarawak: MyPuspakom lancarkan urusan pemeriksaan kenderaan

Tan Sri Abang Khalid Abang Marzuki

KUCHING, 11 Julai: Persatuan Pengimpot dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) Cawangan Sarawak memuji langkah proaktif yang diambil Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer, Puspakom dalam memperkenalkan aplikasi temu janji dalam talian sebagai usaha melancarkan urusan pemeriksaan kenderaan.

Aplikasi yang dinamakan sebagai MyPuspakom itu sejajar dengan norma baharu yang harus terus dipraktikkan dan diguna pakai pada musim pasca pandemik Covid-19.

Menurut Presiden PEKEMA Cawangan Sarawak, Tan Sri Abang Khalid Abang Marzuki, semua ahli di bawah naungan persatuan itu digesa untuk menyesuaikan diri dengan menggunakan aplikasi dalam talian berkenaan bagi membuat temu janji sebelum memeriksa kenderaan yang dijual oleh syarikat masing-masing.


“Pengenalan kepada aplikasi MyPuspakom ini adalah sangat baik sekali dan saya percaya ia mampu mengatasi masalah kesesakan kenderaan yang menunggu giliran untuk diperiksa di premis Puspakom.

“Justeru, saya berharap pemain industri automotif, khususnya ahli-ahli PEKEMA bekerjasama rapat dengan pihak Puspakom dalam usaha kita melancarkan urusan yang kita jalankan,” katanya dalam satu kenyataan akhbar, semalam.

Pada masa sama, beliau tidak menafikan terdapat segelintir ahli berdepan masalah menunggu slot giliran pemeriksaan kenderaan kerana tarikh ketersediaan slot yang agak lama meskipun sudah membuat temu janji dalam talian.

Ini sekaligus menjadi kebimbangan pihak PEKEMA yang khuatir kehilangan pelanggan akibat perlu menunggu terlalu lama untuk kenderaan mereka diperiksa, katanya.

Namun katanya, PEKEMA Cawangan Sarawak telah mengambil langkah berjumpa dengan wakil Puspakom Kuching, baru-baru ini bagi membincangkan isu dan cadangan penambahbaikan perkhidmatan yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.

“Saya yakin masalah ini pasti akan diambil maklum dan dapat dibendung oleh pihak Puspakom dan sebab inilah saya amat menitikberat dan mementingkan jalinan kerjasama antara persatuan dan agensi berkaitan.

“Malah saya juga difahamkan dalam perjumpaan khas antara PEKEMA Sarawak dan Puspakom Kuching baru-baru ini telah berjaya mencapai kata sepakat dalam usaha meningkatkan mutu perkhidmatan agensi dalam menangani sebarang permasalahan melibatkan pelanggannya, termasuklah PEKEMA.

“Adalah mustahil bagi PEKEMA untuk berdiri sebagai sebuah entiti yang utuh di negara ini jika tiada kerjasama dan hubungan baik dengan pihak agensi swasta mahupun jabatan kerajaan, dan sebab itu jugalah komunikasi antara dua pihak amat penting bagi berbincang untuk mencari penyelesaian kepada masalah yang dihadapi bersama-sama,” jelasnya.

Pada masa sama, Abang Khalid turut memberi keyakinan bahawa PEKEMA akan terus memperjuangkan hak dan nasib ahli-ahlinya agar dapat berganding bahu dengan tonggak pemerintahan negara.

Ini sejajar dengan usaha merealisasikan matlamat membina keunggulan dan keutuhan pengusaha Bumiputera serta menyerlahkan kewibawaan anak bangsa dalam dunia keusahawanan automotif.-DayakDaily.