Pekan Bau bukan lagi pekan mati — Adun Tasik Biru

Harry (kanan) dan Gerawat (dua dari kanan) menghiburkan pengunjung dengan sebuah lagu ‘cowboy’ di perasmian Lobuh Bau.

KUCHING, 26 Julai: Pekan Bau yang dahulunya sepi kini telah berubah sebagai pekan ‘hidup’ yang mampu menarik pengunjung datang.

Timbalan Menteri Pengangkutan Dato Henry Harry Jinep berkata, pelbagai usaha telah diatur bersama pejabat daerah Bau dengan menyediakan pelbagai aktiviti sosial dan perniagaan demi kepentingan penduduknya.

“Bila saya mula berkhidmat sebagai wakil rakyat (Tasik Biru) di Bau sejak lima tahun yang lepas, ramai orang datang berjumpa saya dan mereka kata Bau merupakan sebuah pekan mati dengan tiada aktiviti selepas jam 2 petang.

“Saya katakan ya — tiada aktiviti bermaksud tiada aktiviti perniagaan dan sosial. Tetapi dalam tempoh lima tahun ini, kita telah berjaya mengubah Bau sebagai sebuah pekan hidup tidak mengira siang dan malam,” katanya.

Beliau berkata demikian di majlis Perasmian Pub Street atau Lobuh Bau di Pekan Bau pada malam Sabtu (23 Julai) lepas.

Menurut Harry, dengan pelaksanaan Lebuhraya Pan Borneo yang dijangka siap tidak lama lagi, pergerakan penduduk Kuching ke Bau atau sebaliknya akan menjadi lebih mudah.

Justeru, katanya, penubuhan Lobuh Bau adalah tepat pada masanya walaupun tidak sebesar yang ada di Phnom Penh atau di Jalan Alor di Kuala Lumpur.

“Sekarang di Lobuh Bau sudah ada 14 gerai dan daripada jumlah itu 12 gerai adalah milik masyarakat Bidayuh.

“Ini menunjukkan bahawa penduduk tempatan memang berminat untuk berniaga dan sudah tentu Lobuh Bau ini memberi pendapatan dan menyediakan peluang pekerjaan,” jelas Harry.

Beliau yakin dengan pelbagai jenis makanan yang disediakan, Lobuh Bau mampu menjadi satu lagi kawasan tarikan pengunjung di Pekan Bau.

Turut hadir Timbalan Menteri di jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen Dan Pemantauan Projek) Dato Gerawat Gala.— DayakDaily