Pegang teguh pada prinsip sokong dan dukung ‘government of the day’ kata CUEPACS

Datuk Azih Muda

SIBU, September 7: Semua penjawat awam di negara ini perlu terus berpegang teguh kepada prinsip menyokong dan mendukung kerajaan semasa atau ‘government of the day’.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Azih Muda, berkata setiap penjawat awam juga harus melaksanakan setiap dasar yang diperkenalkan kerajaan dengan profesional.

Jelasnya, tahap profesionalisme semua penjawat awam telah diuji selepas Pilihan Raya Umum ke-14 lalu apabila perubahan tampuk pemerintahan negara daripada kerajaan Barisan Nasional (BN) kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH).


“Sehubungan itu, apa jua tugasan dan arahan perlu dilaksanakan oleh penjawat awam bagi meningkatkan produktiviti serta kecekapan sektor perkhidmatan awam.

“Mereka harus memberikan sokongan tidak berbelah-bahagi kepada kerajaan yang memerintah atas prinsip ikrar taat setia dan integriti,” katanya di sini hari ini.

Azih menambah, penjawat awam juga harus mempunyai kesedaran dan tanggungjawab pada setiap masa memberikan taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong, kerajaan dan negara selaras di bawah Peraturan 4 (1) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

Katanya, penjawat awam perlu menghargai kerajaan sedia ada yang telah melakukan pelbagai penambahbaikan dalam sektor perkhidmatan awam.

“Malaysia adalah sebuah negara yang mempunyai perancangan dasar yang cukup baik malan kerajaan tidak pernah mengetepikan transformasi perkhidmatan awam.

“Justeru, penjawat awam harus menumpukan usaha meningkatkan kecekapan dan produktiviti demi menjaga kepentingan mereka,” ujarnya lagi.

Sambil menambah, beliau mengingatkan agar semua penjawat awam perlu membuktikan mereka dapat bertindak secara adil.

“Ini adalah kerana kerajaan mahupun ahli politik akan datang dan pergi untuk tempoh setiap lima tahun,” katanya. — DayakDaily