PKR gesa GPS realisasikan rancangan menaikkan gaji penjawat awam

Daniel Jani

KUCHING, 1 Okt: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak gesa kerajaan negeri memastikan perancangan untuk menaikkan gaji penjawat awam direalisasikan.

Ketua penerangannya Daniel Jani dalam satu kenyataan hari ini berharap ia bukanlah satu lagi gula-gula untuk menarik undi oleh Gabungan Parti Sarawak (GPS) khususnya menjelang Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15).

“Ayat ‘rancang’ bermaksud baru nak cuba buat atau baru nak cari jalan penyelesaian yang juga bermaksud belum pasti.


“Jadi sebenarnya setelah menang dalam pilihanraya buat atau tak, ia adalah ‘perancangan’. Maka tak dapatlah rakyat atau penjawat awam nak marah.

“Ini adalah kerana baru cari jalan. Akhirnya terima sahaja apa keputusan kerana rancang tak bermaksud berjanji akan buat,” kata Daniel.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada Rabu lepas berkata Kerajaan Sarawak sedang mengkaji beberapa mekanisme bagi memastikan penjawat awam di negeri ini menerima kebajikan kewangan yang lebih stabil dengan keadaan semasa ekonomi.

Beliau yang berucap semasa sesi townhall dihadiri lebih 700 penjawat awam seluruh negeri berpandangan gaji yang diterima oleh penjawat awam kini masih tidak memadai.

Malah katanya, kuota penjawatan untuk negeri juga perlu diselaraskan dengan keperluan dan aspirasi kerajaan bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan awam termasuk di Sarawak.

“Saya berpandangan gaji kakitangan perkhidmatan awam di negeri ini masih tidak memadai, saya akan cari jalan untuk menyelesaikan perkara ini, kerana kita juga mesti mempunyai kebebasan dalam pengurusan kewangan kita,” kata Abang Johari. — DayakDaily