Hak pekerja tidak boleh dirampas oleh politik kata MTUC Sarawak

Andrew Lo

KUCHING, September 7: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Sarawak melahirkan kekecewaan dengan kadar gaji minimum yang diseragamkan sebanyak RM1,050 sebulan mulai tahun depan.

Setiausaha MTUC Sarawak Andrew Lo berkata pelarasan gaji minimum itu adalah tidak berasaskan dasar ekonomi serta mengambil kira pasaran tenaga kerja yang mampan.

Jelasnya, MTUC Sarawak percaya bahawa kadar upah minimum sebanyak RM1,050 adalah cadangan daripada majikan.


“Ia bukannya cadangan cadangan dari Majlis Gaji Minimum secara keseluruhan.

“Ia hanya meliputi peningkatan sebanyak lima peratus apabila kadar inflasi rasmi telah meningkat sebanyak sekurang-kurangnya 10 peratus manakala produktiviti tenaga kerja meningkat sebanyak kira-kira lapan peratus dalam tempoh kaji selidik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lo menambah, sepatutnya kenaikan gaji minimum itu mestilah berasaskan kepada dasar ekonomi dan pasaran tenaga kerja yang mampan.

Katanya, kenaikan tersebut sepatutnya bukan pada kehendak dan jangkaan ahli politik.

“Hak pekerja tidak boleh dirampas oleh politik kerana pada masa ini, gaji minimum adalah lebih rendah di Sabah dan Sarawak.

“Kita sedar meskipun matlamat asalnya adalah untuk mewujudkan kadar gaji yang seragam, namun ia harus dicapai secara beransur-ansur,” ujarnya.

Pada 5 Sept lalu, Pejabat Perdana Menteri memberitahu, pelarasan gaji minimum akan dilaksanakan di seluruh negara bermula 1 Jan tahun depan, katanya.

Kadar gaji minimum itu ditetapkan pada RM1,050 sebulan atau RM5.05 sejam.

Ia merupakan salah satu daripada 10 janji Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-14 Mei lalu.

“Setelah menimbang syor MPGN dari pelbagai sudut, kerajaan buat pertama kalinya bersetuju untuk melaksanakan kadar gaji minimum yang seragam bagi seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak iaitu RM1,050 sebulan/RM5.05 sejam berkuatkuasa 1 Jan, 2019.

“Kerajaan juga memutuskan untuk tidak memberikan sebarang subsidi kepada mana-mana majikan kerana kekangan kewangan semasa negara,” kata kenyataan itu. — DayakDaily