Penjawat awam ditangkap kerana cederakan isteri

File Photo/Photo source: Wikimedia Commons

KUCHING, 25 Mei: Seorang penjawat awam ditangkap kerana mencederakan dan merosakkan telefon bimbit isterinya baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata suspek berusia 23 tahun itu ditahan susulan laporan polis yang dibuat oleh isterinya.

Katanya, suspek dilaporkan bertindak demikian ke atas isterinya kerana tidak berpuas hati terhadap isterinya yang ingin membawa anak mereka bermalam di hotel untuk menenangkan fikiran.


Jelasnya, telah berlaku pergelutan di antara mereka sehingga mangsa mengalami kecederaan.

Sementara itu, mangsa turut melaporkan suspek juga telah memecahkan telefon bimbitnya dalam satu kejadian berasingan.

Dedahnya, suspek bertindak sedemikian kerana tidak berpuas hati kepada isterinya yang ingin menggunakan wang Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) bagi membeli susu anak mereka.

Suspek kini ditahan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan , Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Katanya kertas siasatan akan dirujuk kepada pegawai pendakwaraya negeri untuk mendapatkan arahan bagi tindakan selanjutnya. — DayakDaily