Leka ‘layan’ dadah, polis cekup tujuh lelaki

Anggota polis menahan tujuh lelaki disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah.

LIMBANG, Sept 7: Keseronokan tujuh lelaki ‘melayan’ dadah terbantut apabila mereka dicekup polis dalam satu serbuan di Kampung Bunga Raya dekat sini malam tadi.

Kesemua suspek yang berusia antara 30 hingga 41 tahun diberkas oleh sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Limbang kira-kira pukul 10.35 malam.

Ketua Polis Daerah Limbang, Supt Mohd Bukhori Saffai, berkata kejayaan operasi itu adalah hasil maklumat awam dan risikan polis yang dibuat sebelum itu.


Menurutnya, semasa serbuan itu, semua suspek warga tempatan tersebut sedang leka ‘melayan’ dadah.

“Apabila pasukan polis tiba, semua suspek tergamam dan tidak sempat melarikan diri.

“Pemeriksaan lanjut mendapati ketujuh-tujuh lelaki terbabit disyaki terlibat dalam  aktiviti penyalahgunaan dadah,” katanya di sini hari ini.

Mohd Bukhori menambah, kesemua suspek kemudian dibawa ke IPD Limbang untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, ujian kencing yang dilakukan juga mendapati mereka positif dadah.

“Semua suspek kini ditahan reman untuk siasatan lanjut,” ujarnya lagi. — DayakDaily