Penjawat awam rugi RM179,400 ditipu sindiket ‘Macau Scam’

Scam alert. — DayakDaily.com file pic // Photo: Pixabay

KUCHING, 4 Jan: Seorang penjawat awam kerugian RM179,400 akibat ditipu sindiket ‘Macau Scam’ sejak Oktober tahun lepas.
Ketua Polis Daerah Padawan Supt Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata lelaki berusia 40an itu melaporkan dia dihubungi seorang lelaki yang kononnya wakil dari Menara Telekom Kuala Lumpur.
Katanya, mangsa diberitahu oleh suspek bahawa terdapat satu akaun unifi yang didaftarkan atas namannya mempunyai bil tertunggak selama tiga bulan.
Ekoran itu, suspek turut disambungkan dengan seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai anggota polis dan memberitahu mangsa dikaitkan dengan satu kes pengubahan wang haram.
Seterusnya mangsa diperdayakan suspek untuk membuat bayaran ke beberapa akaun bank bagi menyelesaikan kes tersebut.
Mangsa kemudian dikatakan membuat 14 transaksi pemindahan wang ke empat akaun bank berasingan dengan jumlah keseluruhan mencecah RM179,400.
Kali terakhir mangsa membuat pemindahan wang adalah pada 19 Disember tahun lepas dan mula mengesyaki dirinya ditipu apabila dia tidak dapat lagi menghubungi suspek.
Laporan polis kemudian dibuat di Ibu  ‘Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan untuk siasatan lanjut. — Dayakdaily